Semua orang
merasa seronok apabila telah mencapai usia 20 tahun dan ke atas. Bagi mereka,
usia ini adalah usia yang menunjukkan kematangan dan kebebasan. Tidak ada
kongkongan dan bebas membuat pilihan sendiri. Pada usia 20-an mereka dipanggail
remaja. Kata mereka:
‘Dunia ini ana yang punya’
Jika di kampus pula, mereka digelar
mahasiswa atau mahasiswi. Tidak kiralah di IPTA atau IPTS. Di luar Negara
ataupun di dalam Negara, gelaran mereka tetap sama. Nama universiti akan
sinonim dengan subjek mahasiswa sebagai penghuninya.
Yang pandai pun digelar mahasiswa,
yang kurang pandai pun digelar mahasiswa. Yang baik pun mahasiswa, yang buruk
juga mahasiswa. Yang matang itulah mahasiswa, yang tidak matang turut dipanggil
mahasiswa.
Gelaran mahasiswa sudah
bercampur-aduk menyebabkan nilai kualitinya telah di atasi oleh nilai
kuantitinya. Seolah-olah ramainya mahasiswa menunjukkan tamadun sebuah Negara
itu telah berjaya dan membangun, sedangkan yang betul-betul dan layak digelar
mahasiswa matang cuma segelintir sahaja.
Mahasiswa yang berkualiti adalah
seperti buah masak yang ranum dan sempurna. Tumbesarannya seiring dengan
fizikalitinya tanpa ada cacat cela. Menjadi mahasiswa mestilah menjadi seorang
manusia yang membesar dari sudut luaran dan dalaman.
Luarannya adalah fizikaliti
manakala dalamannya adalah pemikiran. Ianya perlu membesar dengan
seiring tanpa tertinggal.
Misalnya, sebutir Manggis yang masak
haruslah berwarna ungu dan manis isinya, baunya pula harum serta mampu menarik
haiwan untuk mendekati buah tersebut.
Tetapi jika Manggis tersebut telah masak namun isinya tawar atau masam,
ia tidak boleh dipanggil sebagai Manggis yang masak ranum jauh sekali buah yang
benar-benar matang.
Begitulah mahasiswa, jika kita
sekadar membesar sebagai mahasiswa dari sudut luaran semata-mata, kita ibarat
buah Manggis yang masak tetapi masam rasanya. Luar nampak cantik tetapi
dalamannya tidak cantik. Jangankan kata manusia untuk menjamahnya, burung pun
tidak mahu dekati.
Nampak macam seorang mahasiswa,
tetapi pemikirannya tidak seperti mahasiswa.
Kadangkala kita dipaksa untuk
membesar tetapi kita sendiri mengabaikan aspek dalaman yang sepatutnya
diutamakan, lalu menyebabkan tumbesaran umur mahasiswa tidak selari dengan
tahap pemikiran mereka. Jangan terkejut jika ada mahasiswa yang sudah
menjangkau 25 tahun tetapi sikap dan tingkahlakunya tidak ubah seperti pelajar
sekolah menengah.
Ayuh, kita adalah mahasiswa yang
matang bukannya mahasiswa yang trang tang tang!
SIAPAKAH MAHASISWA MATANG?
- Mahasiswa yang matang adalah mahasiswa yang rasional dalam tindakan dan berfikir di luar kotak pemikiran.
Kematangan perlu dipupuk dan ia
tidak akan datang dengan sendiri. Rasional pula perlu dilatih kerana ia
berkaitan dengan aspek emosi. Biasanya pemikiran yang matang akan diterjemahkan
melalui tindakan yang rasional, sebaliknya tindakan yang buruk akan dipengaruhi
oleh emosi dan nafsu.
Apa yang terjadi dalam realiti
mahasiswa yang tidak matang adalah mereka cenderung bertindak menurut nafsu dan
emosi lalu mengabaikan aspek rasional. Jika ini yang terjadi kepada mahasiswa,
kita sama seperti seorang kanak-kanak yang bertindak mengikut kesukaan (nafsu)
mereka tanpa memikirkan rasional (baik atau buruk).
Ingat, mahasiswa yang matang mesti
berfikir sebelum bertindak. Jika mahu bersuara, pastikan suara kita mempunyai
impak yang besar dan bermanfaat kepada orang lain.
- Mahasiswa yang matang mesti mampu berfikir apa yang orang lain tidak nampak untuk kemaslahatan diri sendiri dan orang lain.
Jika kita sebagai mahasiswa,
janganlah kita hanya berfikir bagaimana untuk belajar semata-mata, tetapi
fikirkan juga bagaimana dengan pelajaran dan ijazah tersebut kita bisa membantu
masyarakat kelak. Fikiran mahasiswa mestilah jauh ke hadapan lebih jauh
daripada apa yang kita tidak nampak.
Usahlah menjadi seperti orang asli
yang tinggal di hutan, bila ditanya tentang apakah yang ada dalam dunia ini?
mereka hanya tahu, pokok durian dan pokok rambutan, air sungai dan
haiwan-haiwan yang pernah mereka temui. Paling tinggipun pengetahuan mereka,
mereka hanya tahu mencipta lembing dan pisau, sedangkan di luar sana sudah ada
bangunan yang tinggi dan kapal terbang yang boleh berlegar-legar di udara sama
seperti seekor burung.
Tidak salah tinggal di hutan atau di
kampung, tetapi dalam masa yang sama kita perlu mengambil tahu tentang dunia
luar dan apa yang sedang berlaku di sana. Itulah yang dimaksudkan mahasiswa
yang berfikir di luar kotak pemikiran.
- Mahasiswa yang matang adalah mahasiswa yang menjaga imej dan personalitinya.
Cuba anda bayangkan jika Yang Di
Pertuan Agung hanya berseluar pendek dan memakai t-shirt ringkas ketika turun
melawat rakyat jelatanya, sudah tentu akan hilang gah seorang raja yang
berdaulat walaupun tidak salah jika baginda mahu berpakaian sedemikian rupa.
Pasti ada yang berbisik:
‘Ek eleh, ini ke raja kita yob?
Sempoi gila, macam bukan agung pun ye!’
Begitulah jua pada imej seorang
mahasiswa, berimejlah dengan imej yang sepatutnya, kita harus bijak memilih
personaliti mahasiswa yang bersesuaian, tidak kiralah dari sudut berpakaian
lebih-lebih lagi dalam soal akhlak.
Tidak salah jika mahu berjeans dan
bertopi, tetapi biarlah topi yang melambangkan imej kemahasiswaan. Imej
‘seorang’ Manggis (mahasiswa) mesti kita pelihara kerana ia adalah prinsip.
Tidak ada orang yang sanggup makan Manggis yang berwarna hijau atau yang sedang
putik.
Akhir kata, jadilah mahasiswa yang
benar-benar mahasiswa dan berkualiti. Bermula dengan langkah yang kecil
sekarang untuk langkah yang lebih besar nanti. Selamat menjadi sebiji ‘Manggis’
yang masak ranum!
Oleh,
NURUL HUSNA BT MOHAMED @ ISMAIL
TIMBALAN PRESIDEN II PRISMA
2010/2011
Tidak ada komentar:
Posting Komentar